May 17, 2021

REMBAT.STUDIO

Telus. Jelas. Berani.

Pendapatan peniaga restoran, penghantaran makanan terjejas teruk sejak PKP

2 min read

https://malaysiagazette.com/2021/01/15/tempoh-operasi-kedai-makan-patut-dilanjutkan-kata-peniaga/

KUALA LUMPUR – Para peniaga mula mengeluh dan bimbang selepas pendapatan mereka merudum teruk selepas tiga hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas waktu operasi dipendekkan sehingga jam 8 malam sahaja.

Peniaga sup utara yang telah beroperasi hampir 20 tahun, Zulhuari Abdul Aziz berkata, kedainya di Taman Tasik Permaisuri sebelum ini menerima ramai pelanggan, susut teruk sejak hari pertama PKP.

Situasi ini memberi kesan besar kepada operasi kedainya.

MGF15012021_TINJAUAN-9
Zulhuari Abdul Aziz

Zulhuari berkata, meskipun beroperasi bermula pagi sehingga 8 malam namun dengan peraturan PKP menyebabkan kedainya hanya meraih jualan antara 5 hingga 10 peratus

“Kami peniaga memang terkesan dengan masa operasi yang terlalu pendek. Kami minta kerajaan pertimbangan supaya kedai boleh dibuka sehingga 11 malam supaya orang yang balik kerja ada masa membeli.

“Kalau sampai pukul 8 malam jualan hanya boleh mencapai 5 hingga 10 peratus sahaja, sikit sangat. Akibatnya kita tidak dapat tampung kos operasi restoran,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, setakat tiga hari pelaksanaan PKP ini, pendapatan hariannya terjejas hampir 97 peratus.

MGF15012021_TINJAUAN-8
Mohd Alfakri Mohd Zahil

Seorang lagi peniaga asam pedas Mohd Alfakri Mohd Zahil, 32, turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan operasi restoran sehingga 8 malam sahaja.

Katanya, apabila kerajaan melaksanakan semula PKP, harapan peniaga memang kepada pembeli yang datang untuk bungkus sahaja.

Tetapi, kalau operasi restoran dihadkan sehingga 8 malam, bagaimana peniaga mahu mencari pelanggan, soal Mohd Alfakri.

“Hadkan sampai pukul 8 malam tu memang terlalu awal sebab orang balik kerja sampai rumah lebih kurang pukul 7:30 malam. Jadi mereka ada masa untuk singgah.

“Sebab itu kerajaan wajar pertimbangkan untuk membenarkan perniagaan beroperasi hingga 10 malam,” ujarnya.

Dalam pada itu MalaysiaGazette turut meninjau pendapat para penghantar makanan e-hailing yang rata-rata turut mengeluh kerana had penghantaran makanan kali ini bermula 7 pagi hingga 8 malam.

MGF15012021_TINJAUAN-2
Adi Omar

Bagi Adi Omar, 38 tahun, tempoh yang terhad itu menjejaskan poket pekerja sepertinya.

Katanya, tempoh kemuncak penghantar menerima tempahan paling banyak dari 12 tengah hari ke 2 petang dan 6 petang ke 9 malam.

Dengan peraturan yang terkini, banyak restoran yang berdaftar dengan perkhidmatan penghantaran e-hailing akan menghentikan operasi sebelum pukul 8 malam.

“Jam 8 malam adalah waktu puncak tempahan pada waktu malam tapi waktu itu juga tempahan ditutup. Jadi penghantaran kami terbantut.

“Kalau macam ni memang bertambah susahlah hidup kami yang bekerja secara sepenuh masa,” katanya yang mengadu pendapatannya terjejas sehingga 30 peratus pada hari kedua dan ketiga PKP dilaksanakan.

Untuk rekod, aktiviti jualan makanan di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja tepi jalan di negeri yang terbabit PKP, dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Kebenaran sama turut diberikan kepada penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan di tepi jalan, kios, kedai runcit serta kedai serbaneka. – MalaysiaGazette

More Stories

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.