May 17, 2021

REMBAT.STUDIO

Telus. Jelas. Berani.

Dakwaan Chandra Muzaffar Tak Berasas

2 min read

DAKWAAN Presiden JUST ini sama sekali tidak benar. Semata-mata berdasarkan andaian atau mungkin juga berkepentingan politik pihak tertentu.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=192628065891208&id=103701471450535

Jika benar ahli politik berhadapan dakwaan mahkamah mahu gulingkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka terlepas daripada pendakwaan, sudah lama ia dilakukan.

Realitinya begini. Semua sedia maklum kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dibentuk dengan majoriti sangat tipis bermula Mac tahun lalu.

Jika hanya beberapa Ahli Parlimen menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dalam tempoh 11 bulan yang lalu, sudah lama kerajaan PN jatuh terguling-guling. Ironinya itu tidak berlaku.

Malah kelulusan Belanjawan 2021 yang sangat-sangat dibimbangi kerajaan PN diluluskan pada 15 Disember 2020 dengan sokongan Ahli Parlimen yang sedang berdepan dakwaan mahkamah.

Berterus terang sahaja. Semua boleh mengerti kenyataan Presiden JUST, Chandra Muzaffar menjurus kepada Ahli-ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) tertentu.

Tetapi jangan lupa Ahli-ahli Parlimen UMNO/BN yang terus dizalimi itu tidak pernah menjadikan penguguran pendakwaan mahkamah sebagai syarat menyokong Muhyiddin sebagai PM ke-8 pada tahun lalu.

Kesemua mereka malah menegaskan tidak mahu kes digugurkan hanya disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan mahu membersihkan nama di mahkamah melalui proses perundangan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/02/zahid-mahu-bersih-nama-di-mahkamah/

Apa yang mereka mahukan cuma proses perbicaraan yang adil dan saksama kerana yakin segala pertuduhan yang mereka hadapi bermula era kerajaan PH itu semata-mata bermotifkan politik.

Tidak relevan juga dikaitkan usul majoriti Bahagian UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai usaha melepaskan diri mereka daripada pendakwaan.

Usul ini dibawa akar umbi UMNO dalam mesyuarat Bahagian sebelum dibawa ke Perhimpunan Agong UMNO. Akar umbi parti UMNO yang bertegas menolak kerjasama dengan PPBM..

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/147-umno-bahagian-tolak-kerjasama-dengan-bersatu-ahmad-maslan-276193

Beberapa faktor mendorong kepada penolakan akar umbi UMNO terhadap parti pimpinan Muhyiddin antaranya cubaan PPBM melemahkan UMNO dan sejarah pengkhianatan.

Isu kegagalan menguruskan pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara serta enggan memenuhi permintaan rakyat iaitu lanjutan automatik moratorium dan kelulusan tanpa syarat skim i-Sinar turut menjadi sebab.

Kena ingat dari awal pembentukan kerajaan PN, UMNO dengan tegas menyatakan sokongan Ahli Parlimen UMNO/BN dalam pembentukan kerajaan PN hanya bersifat sokongan individu.

Memandangkan sokongan Ahli Parlimen UMNO/BN terhadap kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan individu, maka tidaklah salah pula untuk mana-mana Ahli Parlimen UMNO/BN tidak menyokong kerajaan PN juga secara individu.

Maka tidak timbul isu kononnya UMNO mahu membawa usul tidak bekerjasama dengan PPBM dalam PRU15 pada Perhimpunan Agung parti itu kerana mahu melepaskan pemimpinnya daripada pendakwaan mahkamah. Ini adalah kehendak akar umbi parti.

Kesimpulannya janganlah berselindung disebalik gelaran penganalisis politik untuk mengeluarkan kenyataan yang bias sedangkan ramai mengetahui siapa Chandra Muzaffar dan kecenderungan politiknya selama ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.